BERNAMA

Riyadh: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tekad Kerajaan Perpaduan menarik pelabur dunia ke Malaysia dengan mengadakan pertemuan bersama barisan pemimpin industri pada Sabtu yang juga hari terakhir lawatan kerja beliau di Arab Saudi.

Selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di sini, semalam, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengambil peluang bertemu dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi Dr Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco (Aramco) Amin H Nasser bagi berbincang lanjut mengenai rancangan pelaburan syarikat minyak dan gas terbesar dunia itu di Malaysia.

Anwar diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Sebelum ini, Aramco telah menyuarakan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.

Pada 2017, syarikat minyak dan gas nasional Arab Saudi itu telah menjalin pelaburan bersama dengan Petronas di Pengerang, Kota Tinggi.

Fortune Global 500 pada 2021 menyenaraikan Saudi Aramco di tempat keenam teratas sebagai syarikat paling untung di dunia, dengan perolehan berjumlah US$105 bilion.

Mengulas usaha itu, Tengku Zafrul memberitahu media Malaysia bahawa perbincangan dengan Aramco hari ini berjalan lancar dan mengikut landasan yang tepat.

Malah, beliau berkata hasil perbincangan dengan Aramco itu bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, agenda perdana menteri pada hari ini juga membabitkan pertemuan dengan kalangan pemimpin syarikat Malaysia dan Arab Saudi yang menjalin kerjasama dalam beberapa projek berkaitan hartanah, teknologi dan penerbangan di kedua-dua negara.

Antaranya ialah Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dan Ajlan & Bros Holding Group, MGB Bhd dan Alameriah Real Estate Development serta Mobility One Sdn Bhd dan Al-Nesma Holding Co Ltd selain SARH.

Perdana Menteri kemudian menyaksikan sesi pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) di antara Westar Aviation Services Sdn Bhd dan Mukamalah Aviation Company; Dagang NeXchange Bhd dan Ajlan Bros Holding Group, Twistcode Technologies Sdn Bhd dan Ajlan & Bros serta MGB Bhd dan Sany Alameriah.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata perdana menteri turut menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund Arab Saudi Nasir ALRumayyan untuk membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan.

Beliau juga menyifatkan program hari ini sebagai membuktikan keseriusan dan komitmen Malaysia dan Arab Saudi untuk meningkatkan lagi hubungan dan kerjasama perdagangan dan pelaburan ke tahap yang baharu.

"Kita boleh melihat pantasnya usaha mengadakan perbincangan dijalankan di antara kedua-dua pihak. Ini membuktikan keseriusan dan komitmen mereka," kata Tengku Zafrul.

Program berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Perlaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) serta Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi.

Arab Saudi merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Barat dengan jumlah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara pada 2022 mencatatkan US$10.26 bilion, meningkat 159.2 peratus daripada 2021.

Projek utama Arab Saudi di Malaysia termasuk Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.

Anwar dalam lawatan kerja dua hari ke Riyadh bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Majlis Kerjasma Teluk (GCC), yang pertama kali diadakan sejak kedua-dua blok rantau itu menjalinkan hubungan pada 1990.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 5:52 PM
ANWAR bersama delegasi Malaysia ketika bermesyuarat bersama syarikat gergasi petroleum dan gas asli Aramco. FOTO Facebook Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
ANWAR bersama delegasi Malaysia ketika bermesyuarat bersama syarikat gergasi petroleum dan gas asli Aramco. FOTO Facebook Rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim