PENDUDUK Palestin mencari sesuatu pada  runtuhan bangunan yang musnah berikutan pengeboman Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin mencari sesuatu pada runtuhan bangunan yang musnah berikutan pengeboman Israel di Rafah di selatan Semenanjung Gaza. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia dan Palestin sepakat usaha tuntas perlu dilakukan bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan di Gaza ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu disuarakan semasa perbualan telefon antara beliau dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas bagi membincangkan perkembangan terkini di Gaza.

"Kami juga berharap semua pihak dapat berusaha memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan segera kepada rakyat Palestin," kata Anwar menerusi catatan di akaun X beliau tadi.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menerima penjelasan mengenai serangan yang dilakukan rejim Zionis ke atas orang awam dan bersama-sama dengan Abbas mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu.

Perdana Menteri kini berada di Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Malaysia adalah penyelaras ASEAN bagi Sidang Kemuncak ASEAN-GCC, yang bertujuan mengoptimumkan kerjasama antara kedua-dua pertubuhan serantau itu.

Sidang kemuncak itu dijangka membincangkan konflik Israel-Palestin dan mencari jalan untuk menoktahkan penderitaan penduduk Gaza susulan tindakan ketenteraan terkini oleh rejim Zionis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2023 @ 12:41 PM