Salah seorang mayat mangsa yang dibawa ke jeti feri sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Salah seorang mayat mangsa yang dibawa ke jeti feri sebelum diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Erika George


Sibu: Tiga remaja yang dibawa arus deras semasa mandi-manda di Sungai Batang Lassa, pada Ahad lalu ditemukan lemas, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa pertama berusia 13 tahun dijumpai pekerja feri Muara Lassa pada 6.30 pagi.

Menurutnya, pengadu kemudian menghubungi Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro untuk tindakan lanjut sebelum mayat remaja berkenaan diserahkan kepada polis.

"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) meneruskan pencarian sebelum menjumpai mayat mangsa kedua berusia 13 tahun pada 8.22 pagi iaitu pada jarak dua kilometer dari lokasi terakhir mereka mandu sebelum tenggelam dibawa arus deras.

"Usaha pencarian diteruskan ke kawasan hilir sungai sebelum menemui mangsa ketiga berusia 13 tahun 9.05 pagi kira-kira empat kilometer dari lokasi insiden berlaku," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mayat ketiga-tiga mangsa dibawa ke jeti lalu diserahkan kepada polis dan usaha pencarian ditamatkan sebaik penemuan kesemua mayat terbabit.

Dalam kejadian pada petang Ahad lalu, empat remaja lelaki dikatakan mandi-manda di perairan Batu Nangar, Daro, namun tiga daripada mereka dibawa arus deras dan seorang lagi terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 1:16 PM