WAN Salim. FOTO Arkib NSTP
WAN Salim. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Rakyat Malaysia baik yang beragama Islam atau bukan Islam diseru supaya menunaikan tanggungjawab kemanusiaan dengan menghulurkan bantuan kepada penduduk Semenanjung Gaza susulan krisis yang menimpa penduduk Palestin.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, bantuan itu adalah bagi mengurangkan penderitaan rakyat Palestin akibat daripada serangan rejim Israel.

"Umat Islam di seluruh dunia wajib membantu saudara mereka yang sedang berjuang di bumi Palestin bagi mempertahankan diri dan tanahair daripada serangan kejam Israel.

"Media melaporkan bahawa tentera penjajah Zionis menyasarkan kemudahan awam di Semenanjung Gaza termasuk hospital, masjid dan kediaman penduduk," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim turut menyeru rakyat Malaysia supaya memulau kesemua syarikat atau produk yang menyumbang kepada ekonomi Israel.

Katanya, terdapat juga syarikat atau restoran yang menderma makanan secara percuma kepada tentera Israel yang menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

"Setakat ini rakyat beberapa negara sudah mengambil tindakan memulau restoran berkenaan termasuk Arab Saudi, Mesir, Lubnan dan Kuwait.

"Amerika Syarikat perlu disedarkan supaya menghentikan polisi 'double standard' (pilih kash) yang dipraktikkannya selama ini.

"Kuasa besar dunia itu menyokong Republik Ukrain menentang Rusia, sedangkan di Palestin, mereka menyebelahi Israel dan membantunya menyerang rakyat yang berjuang mengembalikan hak serta negara mereka selepas dirampas rejim itu sejak 1948," katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2023 @ 5:42 PM