DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO arkib NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO arkib NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid tidak pernah menghubungi atau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyokong kepimpinannya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa, sokongan dibuat oleh Iskandar Dzulkarnain itu adalah atas kehendak peribadinya sendiri.

"Kabinet telah dimaklumkan pagi tadi bahawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar tidak menelefon atau bertemu dengan Perdana Menteri.

"Apatah lagi mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri mengenai sokongan beliau kepada Kerajaan Perpaduan ini tanpa beliau sendiri keluar daripada partinya.

"Perkara ini adalah atas kehendak peribadi beliau sendiri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Iskandar Dzulkarnain, semalam dilapor memutuskan untuk menyokong kepimpinan Anwar.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin kemudiannya menyatakan bahawa gabungan itu melahirkan rasa kesal atas kenyataan dibuat terburu-buru oleh Iskandar Dzulkarnain yang memutuskan menyokong kepimpinan Anwar.

Hamzah berkata, kenyataan dibuat Iskandar Dzulkarnain yang menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeza dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 8:29 PM