GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Beras import dan tempatan yang dicampur tidak boleh dibezakan dengan mata kasar sebaliknya perlu disahkan menerusi ujian makmal.

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Ismail Awang berkata, rupa bentuk dua jenis beras terbabit yang hampir sama memang sukar dibezakan.

"Beras putih ini lebih kurang sama saja terutama beras Vietnam dan Thailand jadi macam mana kita hendak bezakan kecuali dengan hanya ujian makmal.

"Jadi, kalau betul ada berlaku aktiviti ketirisan mencampur dua beras itu, pihak berkuasa perlu buat ujian makmal untuk mengesahkan status beras itu dan sejauh mana ia berlaku," katanya mengenai serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap lima kilang beras di Kedah, semalam yang membongkar ketirisan pengedaran beras.

Dalam operasi itu, SPRM turut mengesan aktiviti mencampur beras tempatan dengan beras import untuk dijual dengan harga beras import.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, sepanjang berada dalam industri, dakwaan seperti itu tidak berlaku kerana tidak menguntungkan mana-mana pihak.

"Setahu saya tidak pernah berlaku (isu beras dicampur) dan tidak pernah pula mereka (pihak berkuasa) buat gerakan ambil beras itu buat sampel untuk diuji di makmal dan sahkan campuran beras itu.

"Apabila kilang meminta pembuktian, tiada siapa boleh sahkan ketulenan beras itu.

"Jadi perlu buat ujian makmal secara spesifik kerana kita pun tak tahu dari sumber mana yang mendakwa ada campuran beras itu mungkin hanya ditimbulkan sebab isu beras ini hangat masa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:53 PM