RAMLI ketika ditemui media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
RAMLI ketika ditemui media di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Rakyat tempatan dikesan terbabit mendalangi kes penipuan pekerjaan dengan bekerjasama sindiket dari luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalang terbabit menabur janji manis termasuk tawaran gaji lumayan untuk memperdaya rakyat Malaysia bekerja di luar negara tetapi akhirnya menjadi mangsa penipuan.

"Sudah pasti kes penipuan pekerjaan ini didalangi orang tempatan tetapi mesti ada hubungan dengan sindiket dari luar negara.

"Terbaharu membabitkan kes rakyat Malaysia diselamatkan di Peru dan kini menunggu mangsa pulang sebelum kenyataan mereka direkodkan.

"Polis akan mengumpul lebih banyak maklumat mengenai modus operandi sindiket terbabit," katanya ketika ditemui media pada Majlis Penutup Kejohanan Karate Piala Ketua Polis Negara 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman.

Dalam perkembangan berkaitan, Ramli berkata, tiada istilah pukau melalui panggilan telefon dalam kes individu yang menjadi mangsa penipuan.

Sebaliknya, beliau berkata, sindiket terbabit lebih menggunakan pendekatan kepada psikologi.

Katanya, selain itu, sindiket terbabit mencari mangsa secara rawak dan bukannya mengetahui latar belakang mangsa.

"Malangnya ada juga kes mereka tahu tetapi akhirnya dikatakan dipukau.

"Sebenarnya, tiada istilah dipukau melalui panggilan telefon atau sebagainya tetapi ia adalah psikologi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 6:43 PM