LAPORAN Harian Metro
LAPORAN Harian Metro
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 43 rakyat Malaysia yang diselamatkan selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia sindiket Macau Scam di Peru, akan dirakam keterangan oleh polis sebaik tiba di negara ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan akan dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom) Bukit Aman.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kesemua mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 26 wanita dan 17 lelaki berusia lingkungan 30-an.

Menurutnya, kesemua mangsa masuk ke negara berkenaan secara sah dengan menggunakan pasport dan membawa wang tunai serta pakaian bersama.

"Sebaik mereka dibawa pulang ke negara ini, kita akan memanggil semua mangsa dan membuat temubual.

"Kita mahu mengenalpasti siapa yang terbabit (sindiket) dan siapa merekrut mereka serta bagaimana mereka dibawa ke Peru.

"Berdasarkan maklumat itu, kertas siasatan akan dibuka dan menangkap pihak terbabit untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Razarudin berkata, ia kes pertama yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia dibawa ke Peru oleh sindiket penipuan.

Katanya, sebelum ini kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan rakyat Malaysia dilarikan ke Laos, Kemboja, Myanmar dan Filipina.

Berikutan itu, beliau berkata, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi mengesan sindiket dan mengekang jenayah itu berleluasa.

Tambahnya, biarpun banyak maklumat berkaitan kes penipuan pekerjaan dihebahkan pihaknya termasuk di media sosial, namun masih ramai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa.

Semalam, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan 43 rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan polis Republik Peru dalam serbuan di Lima, pada Sabtu.

Pihak polis mengadakan satu serbuan di rumah di La Molina, di mana kesemua mangsa warganegara Malaysia terbabit sudah dikenalpasti dan diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 3:28 PM