Fahmi Fadzil semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
Fahmi Fadzil semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk menapis laman web yang menawarkan perniagaan atau perkhidmatan palsu menerusi portal sebenarnya.my dengan cap pengesahan bagi mengelakkan gejala penipuan berleluasa oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pihak kementerian akan meneliti perkara berkenaan secara teknikal sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya kerana pihak yang tidak bertanggungjawab itu licik dengan taktik tertentu sehingga menyukarkan proses menapis tawaran palsu itu.

"Satu daripada masalah yang sering dihadapi oleh pihak sebenarnya.my adalah apabila ada pihak kononnya menawarkan bantuan (kewangan) antara RM200 hingga RM1,000 kononnya daripada agensi kerajaan dengan laman sesawang yang mirip laman sesawang kerajaan.

"Tapi masalah yang dihadapi, apabila ditutup satu sebab ia hanya melibatkan pengekodan (coding) atau penukaran pengehosan (hosting) dan sebagainya, mereka boleh copy paste laman-laman web ini," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, Fahmi berkata antara cara terbaik untuk mengatasi kegiatan berkenaan adalah dengan meningkatkan literasi digital dalam kalangan masyarakat agar lebih berwaspada dan tidak menjadi mangsa kegiatan penipuan dalam talian.

Beliau menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai kesediaan kerajaan untuk mengenal pasti laman web yang menawarkan perkhidmatan palsu dan disiarkan melalui laman web sebenarnya.my untuk makluman awam.

Sementara itu, Fahmi berkata setakat ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hanya menerima satu aduan berkaitan penipuan pengubahsuaian (rumah) susulan daripada siasatan yang dijalankan oleh polis.

"Semakan yang dibuat mendapati bahawa kandungan terlibat tidak lagi wujud atau telah diturunkan oleh pentadbir laman sesawang berkenaan," katanya.

Beliau menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Teresa Kok Suh Sim (DAP- Seputeh) berkaitan jumlah aduan yang diterima oleh MCMC tentang penipuan pengubahsuaian dan jumlah laman web yang terlibat dalam penipuan terbabit yang telah diambil tindakan oleh MCMC.

Fahmi menjelaskan isu berkaitan penipuan melibatkan wang ringgit sama ada dalam talian mahupun luar talian adalah dalam bidang kuasa Polis Diraja Malaysia termasuk sebarang tindakan susulan seperti sekatan laman sesawang jika berkaitan, manakala MCMC bertindak memberi bantuan teknikal berhubung siasatan.

Selain itu, katanya MCMC juga membekalkan maklumat analisis forensik digital dan melaksanakan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak berkuasa, bagi menangani sebarang kes penipuan dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 2:10 PM