Fahmy A Rosli


Bentong: Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai, petanda pengundi menolak isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) dibawakan parti pembangkang.

Pengerusi BN Pahang itu percaya keyakinan dan kepercayaan ditunjukkan dalam bentuk kemenangan kepada calonnya di kerusi berkenaan.

Dengan keyakinan dan kepercayaan itu, Wan Rosdy selaku Menteri Besar Pahang komited memikirkan hal berkait kepentingan rakyat selain memberi jaminan akan membantu golongan itu.

"Saya percaya bahawa isu-isu 3R tidak mendapat tumpuan di hati pengundi di Pelangai dan Pahang. Ini kerana saya percaya kita di Pahang ingin memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

"Kita ingin membantu rakyat dan setiap masa kita akan memikirkan bagaimana kita membantu rakyat. Sebab itu kita perkenalkan bantuan Prihatin Pahang.

"Bahkan di kawasan Felda sendiri pun, ini untuk membuat perubahan generasi kedua Felda. Usaha ini akan diteruskan sebab itu dalam siri kempen saya, kita banyak menawarkan apa yang boleh berikan kepada pengundi di Pelangai.

"Ia berbanding kita memainkan persepsi, sentimen dan juga mengeluarkan fitnah semasa berkempen. Jadi saya percaya atas sebab itu, pengundi-pengundi di Pelangai menolak corak kepimpinan tersebut dan memilih BN," katanya.

Mengulas kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) pada PRK kali ini, menurut Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO, beliau tidak menafikan rakyat menerima kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, ia dibuktikan undi diterima BN di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bukan Melayu kepada calonnya sekali gus memenangkan wakil parti di Pelangai.

"Dua PDM yang ada bukan Melayu telah memberikan undi kepada BN. Dengan utu, boleh ktia katakan pengundi-pengundi di situ sudah mula menerika Kerajaan Perpaduan," katanya.

Mengenai penyusutan majoriti undi BN kali ini, Wan Rosdy berkata ia adalah penurunan kecil yang tidak dapat dielakkan.

Namun yang lebih mustahak, tegasnya adalah BN-PH berusaha sehabis baik untuk mengekalkan kerusi berkenaan.

"Insya-Allah kita akan lihat mengapa terjadi begitu dan kita akan baiki di masa-masa akan datang," katanya.

WAN Rosdy (lapan, kiri) dan Amizar (sembilan, kiri) bergambar bersama barisan kepimpinan BN dan Pakatan Harapan. FOTO Bernama
WAN Rosdy (lapan, kiri) dan Amizar (sembilan, kiri) bergambar bersama barisan kepimpinan BN dan Pakatan Harapan. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 11:01 PM