GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Bentong: Seorang pengundi mencuri tumpuan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai hari ini, dek keunikan namanya.

Muhamad Anilzan Pelangai Ramli, 38, yang lebih mesra dipanggil Pelangai menjadi antara yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Pelangai di sini.

Anak jati Kampung Jawi-Jawi itu berkata, beliau bertolak dari ibu negara, kira-kira 128 kilometer dari sini, seawal 6 pagi tadi untuk pulang mengundi.

"Pelangai pulang demi Pelangai. Biarpun saya tidak menetap di sini, dah berpindah dan menguruskan perniagaan di Kuala Lumpur, tetapi keluarga masih ada di sini, saya pun masih kerap pulang.

"Jadi, saya tahu undi saya ini walaupun satu, penting untuk memastikan mereka yang betul-betul layak saja menang di sini," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sebanyak sembilan pusat pengundian membabitkan 30 saluran dibuka pada 8 pagi tadi hingga 6 petang ini.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 3:24 PM