V Sivakumar (dua dari kiri) menyampaikan Bakul Makanan kepada penerima sumbangan pada majlis Perasmian Program Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia di Pulau Sebang hari ini. FOTO BERNAMA
V Sivakumar (dua dari kiri) menyampaikan Bakul Makanan kepada penerima sumbangan pada majlis Perasmian Program Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia di Pulau Sebang hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Alor Gajah: Kadar pengangguran negara terus menunjukkan trend penurunan apabila mencatat 3.5 peratus pada suku pertama 2023 berbanding 3.6 peratus pada suku tahun keempat 2022.

Menteri Sumber Manusia (KSM) V Sivakumar berkata, ia berikutan berlakunya perubahan dalam trend pencarian kerja yang ketara terutama membabitkan golongan muda sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, dalam masa sama, pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan bagi membantu golongan pencari kerja berumur 40 tahun ke atas.

"Memang ada trend perubahan dalam pencarian terutama selepas Covid-19 kerana ramai yang dihentikan kerja dan selepas itu, mereka mencari pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kemahiran mereka. Jadi ada perubahan trend di situ," katanya selepas merasmikan program Jelajah MADANI Bersama Menteri Sumber Manusia di Pulau Sebang di sini, tadi.

Dalam pada itu katanya, data daripada Portal MYFutureJobs menunjukkan sebanyak 455,350 pencari kerja di seluruh negara berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor dari tempoh 2022 hingga September 2023.

"Ini adalah petunjuk yang baik bahawa lebih ramai orang mula bekerja dan kadar pengangguran semakin berkurangan dan dalam masa yang sama, mereka mendapat upah atau gaji yang setimpal," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata KSM dengan agensi lain termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan melakukan lebih banyak usaha untuk memastikan kadar pengangguran dalam kalangan anak muda dikurangkan.

Katanya, program yang dirangka bukan saja untuk mengurangkan kadar pengangguran malahan memastikan belia negara mempunyai latihan dan kemahiran mencukupi agar mereka bersedia memasuki pasaran pekerjaan yang sangat kompetitif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 2:49 PM