Kuching: Semua pihak perlu berjaga-jaga bagi menghadapi ancaman kesihatan baru yang berupaya menjadi pandemik dikenali sebagai penyakit X.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum mengenalpasti sifat penyakit X, persediaan harus dilaksanakan bagi menghadapinya.
Beliau berkata, kesukaran mendapatkan vaksin ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 harus dijadikan iktibar agar semua pihak bersedia menghadapi wabak yang bukan saja mengancam kesihatan tetapi boleh menjejaskan ekonomi dunia.
"Sekarang kita masih belum tahu apa sebenarnya penyakit X, adakah ia demam atau penyakit yang ada kaitan dengan jangkitan selesema kerana sehingga kini WHO belum mengumumkannya.
"Jika sudah diketahui apa sebenarnya penyakit X, barulah kita tahu apa vaksin sesuai untuk menanganinya seperti mana ketika kita menghadapi pandemik Covid-19 dulu yang akhirnya ada tiga pengeluar berjaya menghasilkan vaksin," katanya kepasa media selepas merasmikan Forum Usahawan dan Perniagaan 2023 di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, dalam persediaan menghadapi ancaman penyakit berbahaya, Sarawak sudah menyediakan pakar dan menubuhkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit.
"Kita melabur sejumlah RM200 juta bagi membangunkan pusat penyelidikan penyakit berjangkit itu dan kita mempunyai pakar termasuk dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).
"Tenaga pakar itu boleh bekerjasama bukan saja untuk menyembuhkan penyakit tetapi juga berupaya menghasilkan vaksin bagi menghalang penularan wabak merbahaya," katanya.
Katanya, pakar tempatan di Sarawak menjalin kerjasama dengan pakar antarabangsa dari Amerika Syarikat (AS), Jerman dan Singapura bagi menangani penyakit berjangkit.
"Objektif utama kolaborasi dengan pakar antarabangsa itu ialah untuk menjamin kita mempunyai vaksin sendiri apabila menghadapi sesuatu ancaman wabak," katanya.