AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Bernama.
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Bernama.
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau menerima maklumat dalaman bahawa beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perikatan Nasional (PN) mahu menyokong gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) di Pahang.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, dakwaan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya empat wakil rakyat BN mahu menyertainya tidak lebih sekadar propaganda politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.

"Di sana ada 16 Adun (BN) sedia ada, insya-Allah kita akan kekalkan (PRK) Pelangai ini, terdapat juga lapan Adun daripada PH, jadi jumlah ini mencukupi untuk membentuk kerajaan (negeri).

"Walaupun itu propaganda mereka (PN), kita juga mempunyai maklumat dalaman dan sebenarnya mereka juga (Adun PN) akan bersama dengan kami," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dalam ceramah perdana di Felda Chemomoi sebelum ini, mendakwa ada kemungkinan Adun BN akan menyertai PN sekiranya gabungan itu menang pada PRK Pelangai.

Dakwaan Muhyiddin itu bagaimanapun diselar Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang menyifatkan kenyataan itu adalah satu bentuk fitnah bertujuan mengelirukan dan menakutkan rakyat serta pengundi menjelang PRK Pelangai.

Komposisi yang membentuk kerajaan negeri Pahang ketika ini terdiri 16 Adun BN dan lapan Adun PH, manakala PN mempunyai 17 Adun.

Pahang antara negeri yang belum menguatkuasakan undang-undang anti lompat parti bagi Adun sejak ia berkuat kuasa di peringkat Persekutuan pada 5 Oktober tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, disebabkan maklumat terbabit, PN melakukan propaganda seolah-olah Adun BN mahu menyertai mereka.

"Sebenarnya mereka (PN) mahu menjadi kerajaan negeri, jadi kita berharap empat (Adun) itu (sebenarnya) datang daripada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 6:02 PM