GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuantan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bentong memaklumkan Jalan Karak-Simpang Pelangai di Bentong, akan ditutup kepada semua kenderaan selama tiga jam bermula 8 pagi esok.

JKR Bentong menerusi kenyataan memaklumkan penutupan itu bagi memberi ruang kerja selamat untuk kerja mengalih lori terbalik di bahu jalan, yang difahamkan berlaku hari ini.

"Penutupan melibatkan Jalan Persekutuan yang bermula dari simpang Balai Polis Karak sehingga simpang Jalan Manchis-Chemomoi, dengan tanda pandu selepas Balai Polis Telemong.

"Pengguna boleh menggunakan laluan alternatif dari Karak-Temerloh-Bandar Bera-Jalan Bukit Mendi-Simpang Pelangai," menurut kenyataan itu.

Pengguna jalan raya diminta untuk mematuhi papan tanda dan arahan disediakan serta boleh menghubungi talian 09-2223040 jika mempunyai pertanyaan.

Jalan Karak-Simpang Pelangai merupakan laluan masuk ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dari arah Bentong, yang kini dalam tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung pada 7 Okt ini.

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun akibat nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 9:17 PM