NURHAMIZAH Zainuddin tekun menyolek wajah pelanggan dan mengenakan caj RM50 untuk mereka yang kurang berkemampuan.
NURHAMIZAH Zainuddin tekun menyolek wajah pelanggan dan mengenakan caj RM50 untuk mereka yang kurang berkemampuan.
Redzuan Muharam


Merlimau: Pernah merasai kesusahan hidup menyebabkan jurusolek ini meletakkan harga rendah bagi perkhidmatan ditawar kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Nurhamizah Zainuddin, 36, tidak berkira malah mengenakan caj RM50 kepada golongan itu yang perlu disolek untuk menghadiri majlis keraian.

Kata ibu empat anak itu, dia sudah lama menawarkan harga RM50 dan niatnya bukan untuk menutup periuk nasi jurusolek lain.

"Saya pernah hidup susah jadi itu salah satu sebab saya letak harga rendah kerana mahu beri peluang kepada yang kurang berkemampuan merasai pengalaman disolek.

"Sebenarnya, saya lebih banyak ambil upah solek pengantin dengan mengenakan caj sewajarnya, tetapi mengenangkan tak semua orang mampu dan ada bajet besar, jadi saya wujudkan juga khidmat solekan RM50.

"Ia hanya bagi mereka yang nak hadir ke majlis atau acara. Walaupun caj rendah, saya tak rasa rugi kerana bukan solekan premium, hanya solekan asas," katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Nurhamizah berkata, dengan khidmat berkenaan, dia juga dapat mengasah kemahirannya apabila berpeluang menyolek lebih ramai wajah pelanggan.

"Sejak kenakan caj solekan RM50, saya dapat bermacam jenis pelanggan dengan pelbagai tekstur kulit.

"Daripada situ, saya kutip pengalaman dan tahu cara serta belajar solek seseorang dengan keadaan kulitnya," katanya yang mengukur tahap kepuasan pelanggan menerusi mereka yang datang semula untuk menggunakan khidmatnya lagi.

Wanita itu mengakui niatnya mengenakan caj solekan rendah kurang disenangi sesetengah pihak, malah ada yang menuduhnya terdesak dan 'sengkek'.

Katanya, dia tidak mengambil pusing kejian itu sebaliknya gembira apabila pelanggannya berpuas hati dengan hasil solekannya.

"Apa yang penting, saya puas bantu orang, malah saya pernah solek tiga orang, tahun lalu yang cuma ada bajet RM100 saja," katanya yang berkongsi hasil solekan RM50 di TikTok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 7:13 PM