BEKAS Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (tengah) bersama Amizar beramah mesra bersama pengundi sempena kempen PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) N.36 Pelangai di Felda Kemasul hari ini. FOTO Bernama
BEKAS Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (tengah) bersama Amizar beramah mesra bersama pengundi sempena kempen PRK Dewan Undangan Negeri (Dun) N.36 Pelangai di Felda Kemasul hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Bentong: Bekas Menteri Besar Pahang Tan Sri Adnan Yaakob hari ini mencipta kejutan apabila tampil buat julung kali menyertai kempen calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelangai, Sabtu ini.

Amizar berkata beliau terkejut dan terharu dengan sokongan Adnan yang lebih mesra dengan panggilan Long Nan, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai selama lapan penggal.

"Saya amat bersyukur, hari ini kejutan, tuan guru saya sendiri Long Nan turun membantu kempen untuk saya di Pelangai ini, satu lonjakan semangat buat saya dan seluruh jentera berhadapan saki-baki tempoh berkempen.

"Selain turun membantu berkempen, Long Nan juga banyak memberi ingatan kepada saya, beri panduan bagaimana untuk saya santuni pengundi dan bertemu masyarakat di sini," katanya ketika ditemui pemberita selepas berkempen diiringi Adnan di Felda Kemasul di sini hari ini.

Adnan sebelum ini hadir pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK Pelangai pada 20 September lalu, namun kelibatnya tidak kelihatan sepanjang minggu pertama kempen BN.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan kempen yang berbaki tiga hari lagi, Amizar berkata beliau sudah bertemu kira-kira 70 hingga 80 peratus pengundi di Pelangai.

"Nak kita jumpa semua mungkin tidak dapat kerana ramai pengundi, tapi kita ada sasaran, lokaliti tertentu, kita ada garis panduan juga dan yakin kita dapat bertemu seramai mungkin masyarakat Pelangai sebelum kempen berakhir Jumaat ini.

"Ketika ini kita belum dalam fasa pecutan akhir, kita masih digear tiga, mungkin dalam sedikit masa lagi baru masuk gear lima, apa pun, mood pengundi kepada BN dilihat amat baik dan itu beri keyakinan kepada kita," katanya.

PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.

Amizar berdepan pertarungan tiga penjuru dengan calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 6:47 PM