Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membuat keputusan terhadap 9,539 permohonan kewarganegaraan setakat September lalu.

Jumlah itu hampir mencapai sasaran KDN untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan bagi mendapatkan status kewarganegaraan pada tahun ini,

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kerajaan Perpaduan melalui KDN sentiasa komited untuk mempertimbangkan setiap permohonan kewarganegaraan secara adil dan saksama.

"Penganugerahan kewarganegaraan Malaysia kepada individu bertaraf bukan warganegara adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif Kerajaan Persekutuan, ia tidak ditawarkan dan diberikan dengan sewenang-wenangnya.

"Kerajaan juga sudah melaksanakan Pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berhubung Perkara Kewarganegaraan dan hasil cadangan pindaan akan dibawa ke Majlis Raja-Raja pada Oktober 2023 (bulan ini)," katanya ketika berucap sempena Program KDN Madani di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

SAIFUDDIN Nasution dan Wan Azizah ketika sidang media di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak. FOTO Aziah Azmee
SAIFUDDIN Nasution dan Wan Azizah ketika sidang media di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak. FOTO Aziah Azmee

Menerusi program terbabit, seramai 19 individu diluluskan permohonan bagi mendapat status warganegara Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir permohonan Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (Gppk) dari 30 September kepada 31 Oktober ini.

Menurutnya, pemberian bantuan itu akan memanfaatkan 2,000 persatuan penduduk yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan jumlah pemberian sebanyak RM10,000 bagi setiap pertubuhan yang layak.

"KDN sudah memperuntukkan keseluruhan sebanyak RM20 juta bagi program GPPK.

"Sehingga September, sebanyak 1,635 permohonan sudah dipertimbangkan. Pada hari ini, penyerahan GPPK sudah diserahkan kepada tujuh pertubuhan.

"Pemberian GPPK ini adalah bertujuan memperkasa peranan pertubuhan dalam meningkatkan pembabitan dalam pelbagai aktiviti kesukarelawanan untuk keselamatan komuniti dan juga bagi persediaan menghadapi bencana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 3:30 PM