PEMILIK syarikat logistik diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman. FOTO Ihsan SPRM
PEMILIK syarikat logistik diiringi pegawai SPRM ketika hadir ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman. FOTO Ihsan SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pemilik syarikat logistik kerana disyaki merasuah pegawai agensi penguat kuasa ketika melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku dari negara jiran.

Sumber berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan 11 malam semalam ketika diminta hadir ke pejabat SPRM Kedah.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 29 September dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abdul Rahim selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan daging sejuk beku menerusi pintu sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah sejak awal tahun ini.

Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(B) Akta SPRM 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 7:44 PM