FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Bila pesakit gout datang berjumpa, saya memang wajibkan dia berpantang dalam pemakanan dan bukan main suruh saja, tapi perlu dipatuhi jika tidak mahu penyakit jadi lebih kronik."

Begitu kata perawat saraf, Dr Fadzlan Zamalin Zainal Ashirin yang berkongsi video di aplikasi TikToknya memaparkan keadaan pesakit gout akibat tidak menjaga pemakanan.

Dr Fadzlan Zamalin berkata, pesakit gout yang tidak menjaga pantang larang makan berdepan risiko sakit yang kronik, malah boleh merosakkan organ lain seperti buah pinggang.

Menurutnya, dia sentiasa menasihati pesakitnya supaya mengelak memakan makanan laut, organ serta buah-buahan mengandungi fruktosa tinggi seperti durian, duku, manggis dan rambutan secara berlebihan.

"Video yang dimuat naik itu adalah keadaan seorang daripada pesakit gout yang mendapatkan rawatan di klinik saya. Kesakitan yang dialaminya sudah berada pada tahap kronik. Itu juga keadaan sakit gout paling teruk yang saya pernah jumpa.

"Pesakit itu menghidap gout sejak 2017, tapi kesilapan dia adalah tak pantang makan. Dia makan apa saja. Makanya, ubat gout yang dimakan tak berfungsi dan saya harap ia tak berjangkit ke buah pinggang pula," katanya.

Dr Fadzlan Zamalin yang bertugas di sebuah klinik swasta di Kuala Terengganu berkata, dia mempunyai lebih 5,000 pesakit gout yang kebanyakannya sukar mendisiplinkan penjagaan pemakanan mereka.

"Pesakit gout saya berusia antara 30 hingga 50 tahun dan ada seawal 17 tahun dengan kebanyakannya adalah lelaki.

"Kaedah utama rawatan gout adalah 'mindset'. Itu kena betulkan dulu. Kalau nak suruh pantang, laratkah nak pantang makan. Nak kawal asid urik berlebihan bukan mudah. Disiplin diri sangat penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 5:02 PM