Abdur Rahman menceritakan perkembangan terbaru adiknya, Abdullah.
Abdur Rahman menceritakan perkembangan terbaru adiknya, Abdullah.
Alias Abd Rani


Muar: "Waalaikummussalam."

Itulah perkataan pertama keluar dari mulut Abdullah Amir Rudin, 15, mangsa yang terselamat dalam kemalangan jalan raya awal bulan ini hingga mengorbankan enam ahli keluarganya.

Perkembangan terbaru Abdullah dikongsi abangnya, Abdur Rahman, 19, selepas pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Al-Muhammadi di Kundang Ulu, Bukit Gambir dibenarkan pulang ke rumah neneknya di Parit Lapis Darat, Parit Jawa, beberapa hari lalu.

Abdullah, yang sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat sejak 1 September lalu, bagaimanapun dilaporkan mengalami masalah penglihatan serta pertuturan.

Menurut Abdur Rahman, adiknya boleh memahami apa yang dituturkan kepadanya namun masih belum mampu bercakap seperti biasa.

"Pendengarannya tiada bermasalah cuma penglihatan kabur, mungkin disebabkan hentakan semasa kemalangan.

"Dari segi percakapan, dia memahami apa yang kita perkatakan kepadanya cuma dia tidak boleh membalas.

"Beberapa hari lalu, dia ada menyebut 'Waalaikumussalam' selepas ada orang memberi salam kepadanya. Itulah satu-satu perkataan terkeluar dari mulutnya," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu, Abdur Rahman berkata, buat sementara waktu pihaknya tidak membenarkan sesiapa datang melawat adiknya atas arahan pasukan perubatan.

Katanya, Abdullah memerlukan pemantauan rapi memandangkan dia dalam proses pemulihan selepas kejadian itu.

"Kalau dia nak sesuatu, dia akan gunakan bahasa badan, jadi kita kena tanyalah apabila dia minta. Pertuturan dia masih belum jelas, manakala rahangnya pula patah.

"Saya diberitahu, semasa kemalangan Abdullah berada di tempat duduk belakang Perodua Alza dan sedang tidur, mungkin disebabkan itulah dia terselamat," katanya.

Sementara itu, Abdur Rahman yang meletakkan jawatan sebagai bilal akan bertanggungjawab menjaga adiknya termasuk membawa untuk rawatan susulan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar.

Dalam kejadian 6.30 petang, mereka terkorban dalam tragedi itu ialah ibu bapa Abdur Rahman, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43, serta empat adiknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 3:33 PM