Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya ancaman pandemik besar yang digelar Penyakit X.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, sekiranya berlakunya pandemik itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memberikan amaran kepada setiap negara.

"Di peringkat WHO kalau ada, sudah tentu mereka juga memberikan amarankepada negara-negara berkenaan.

"Di peringkat Malaysia, memang sentiasa memantau jika ada penyakit-penyakit baru atau yang mungkin boleh menyebabkan pandemik di masa hadapan," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Hadir sama dalam sidang media, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Sebelum ini dilaporkan, pakar-pakar kesihatan awam memberi amaran mengenai sejenis wabak digelar Penyakit X yang berisiko menjadi pandemik dan mengancam nyawa berjuta-juta orang.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha memaklumkan, sewaktu beliau menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, isu Penyakit X tidak dibincangkan semasa perhimpunan antara Menteri-Menteri Kesihatan.

"Tak ada dibincangkan seperti yang ditanya kemungkinan Pandemik X dan sebagainya. Saya rasa apapun, kita sentiasa bersiapsiaga," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengenai isu kesihatan mental dalam kalangan petugas kesihatan yang membimbangkan dan sebagai 'bendera merah,' Dr Zaliha berkata, KKM sentiasa memberi keutamaan mengenai perkara itu yang dilihat semakin ketara.

"Kepada petugas kesihatan, kita ada unit khas untuk mereka jika ada apa-apa permasalahan di tempat kerja dan sebagainya. Mereka boleh pergi ke unit khas tersebut untuk mendapatkan kaunseling dan sebagainya," katanya.

Zaliha turut mengakui isu kesihatan mental sentiasa ada dalam kalangan petugas kesihatan dan pihaknya sentiasa menerima apa sahaja pandangan termasuk daripada MMA.

Katanya, mereka boleh mengemukakan pandangan kepada KKM bagi memberi penambahbaikan kepada sistem di negara ini.

"Apa yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan kesihatan mental ini kita beri keutamaan," katanya

Sementara itu, Zaliha memaklumkan pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan tentang keutamaan yang diletakkan oleh KKM dalam Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan pada bulan depan.

"Kita telah memberikan beberapa keutamaan kepada Kementerian Kewangan yang kita letakkan dalam belanjawan tahun hadapan.

"Kita juga nak meneruskan usaha-usaha yang telah kita lakukan di peringkat kementerian dan kita memerlukan belanjawan yang berterusan," katanya.

Beliau turut berharap akan menerima peruntukan yang lebih dalam Belanjawan 2024 nanti berbanding Belanjawan 2023 yang diterima sebelum ini dengan jumlah RM36.3 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 1:57 PM
DR Zaliha (tiga kanan) dan Alexander (empat kanan) melihat reka bentuk bangunan Institut urologi dan nefrologi (Block B) selepas penyerahan Kompleks Dewan Bedah dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
DR Zaliha (tiga kanan) dan Alexander (empat kanan) melihat reka bentuk bangunan Institut urologi dan nefrologi (Block B) selepas penyerahan Kompleks Dewan Bedah dan Wad Tambahan Hospital Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad