Kuching: Menteri Kabinet yang sudah merancang bercuti di luar negara terutama menjelang musim tengkujuh perlu meneliti semula hasrat mereka itu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi membolehkan mereka bersama rakyat jika bencana banjir melanda.
Beliau berkata, persediaan rapi kini sedang dilaksanakan kerajaan menjelang musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.
"Semua menteri khususnya mereka yang ada kaitan dengan isu bencana banjir tidak digalakkan bercuti di luar negara terutama ketika musim tengkujuh nanti.
"Itu adalah amalan biasa dalam Kabinet bagi memastikan semua perkara yang berkaitan banjir dapat ditangani dengan baik jika bencana itu melanda negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program World Heart Day 2023 di Pustaka Negeri Sarawak, di Petra Jaya, di sini, hari ini.
Program yang disertai kira-kira 2,000 peserta itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Nancy berkata, persediaan kini harus diperkemaskan berikutan beberapa lokasi di Sabah, Sarawak dan Perak sudah dilanda banjir.
"Sehingga hari ini, seramai 228 penduduk daripada 72 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sabah, 33 mangsa daripada tujuh keluarga di dua PPS di Limbang, Sarawak manakala di Perak 37 mangsa daripada sembilan keluarga.
"Sebab itulah persediaan rapi harus kita laksanakan mulai sekarang berikutan beberapa tempat sudah dilanda banjir," katanya.
Mengenai kesan kenaikan harga barang terhadap bekalan makanan yang disediakan kepada banjir, Nancy berkata, setakat ini jenis barang makanan serta kuantiti dikekalkan seperti yang sudah ditetapkan sebelum ini.
"Kita tidak akan mengurangkan kuantiti barang makanan yang akan diagihkan seperti beras serta keperluan lain.
"Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menentukan perkara itu," katanya.