ANWAR menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78. FOTO Bernama
ANWAR menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78. FOTO Bernama
Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Misi delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan amat berjaya walaupun beberapa bulan sebelum itu beliau berbelah bahagi sama ada mahu menghadirinya.

Ini kerana pada awalnya beliau berpendapat perlu berada di dalam negara bagi memberi tumpuan mengurus tadbir negara kerana kekalutan politik sebelum dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), diikuti dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.

Turut merisaukan ialah isu harga barang dan kekurangan bekalan makanan yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Namun, beliau mengubah fikiran selepas mendapati keadaan terkawal dengan barisan Kabinet serta perkhidmatan awam berusaha melaksanakan tugas dan peranan masing-masing.

Lantas, beliau membuat keputusan terbang ke New York dengan jadual asal kunjungan disingkatkan daripada lima kepada tiga hari pada Rabu hingga Jumaat lalu.

Ditanya dalam sidang media sejurus selesai majlis Temu Anwar bersama rakyat dan pelajar di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat malam lepas, beliau mengakui pernah berasa bimbang untuk meninggalkan negara walaupun lawatan kerjanya tidak sampai seminggu.

Untuk rekod Anwar mempunyai aturcara yang sangat padat sepanjang tugasan tiga hari di sini.

Kemuncaknya ialah menyampaikan kenyataan negara yang menyentuh pelbagai isu antarabangsa dan kritikan terhadap kuasa besar yang pentingkan diri dan menafikan hak negara kecil dan miskin.

Beliau secara tegas mewakili rakyat dan negara menyatakan kebimbangan terhadap konflik global di seluruh dunia seperti di Palestin, Ukraine, Afghanistan dan Myanmar.

Beliau juga mengambil kesempatan mempertingkat hubungan dua hala, termasuk pertemuan dengan pemimpin asing seperti Presiden Recep Tayyip Erdoğan dan mengeluarkan kenyataan bersama yang menyentuh, antara lain ancaman Islamophobia serta memperkenalkan Malaysia Madani.

Anwar juga mengadakan pertemuan dengan 15 syarikat terkemuka termasuk AirBnB, Amazon, AWS, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark untuk menarik lebih banyak pelaburan asing.

Diminta pandangannya mengenai komen di dalam dan luar negara yang memberikan reaksi positif apabila pelbagai pihak menganggap misi itu amat cemerlang dengan ramai memujinya sehingga mendapat jolokan sebagai 'Top Salesman' atau jurujual terbaik Malaysia, Anwar enggan mendabik dada.

Sebaliknya, ia adalah kerja berpasukan semua pihak membabitkan pihak di kementerian dan agensi termasuk Kedutaan Malaysia di Washington dan Pejabat Wakili Tetap Malaysia di PBB.

"Tentu saya mahu buat terbaik untuk negara tapi saya bernasib baik kerana pasukan yang bekerja sama ada Kementerian Luar atau Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa (MITI).

"(Mereka) telah membuat beberapa persiapan yang awal dan semua agensi kita yang lain dan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti turut terbabit.

"Jadi bila kerja sebagai pasukan, kita lihat hasilnya baik dan ternyata profil internasional kita juga telah meningkat.

"Bagi saya hasil membanggakan kalau pun (agak) melelahkan. Jadi saya (akan) teruskan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 10:40 AM