FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Omar Ahmad


Johor Bahru : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menafikan kekurangan bekalan barang keperluan asas di Pasir Gudang, sebagaimana didakwa Ahli Parlimennya, Hassan Abdul Karim.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya mengambil inisiatif dan tindakan proaktif dengan membuat pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan terhadap kedudukan bekalan barang keperluan asas di seluruh negeri Johor.

Katanya, pemeriksaan serta pemantauan oleh 200 anggota penguat kuasa tertumpu kepada semua peringkat rantaian pengedaran membabitkan pengilang, pemborong serta peruncit di seluruh Johor.

"Berikutan isu berkaitan gangguan kekurangan bekalan di sekitar Pasir Gudang, Johor yang dikeluarkan beberapa media sosial.

"Secara keseluruhannya, hasil pemantauan dan pemeriksaan dijalankan di beberapa premis - premis pasar raya sekitar Pasir Gudang seperti Lotus's, Maslee, Hero Market, Jianson, dan Red Mart mendapati bekalan barang keperluan seperti gula, minyak masak, tepung, telur ayam masih ada dan mudah diperolehi.

"Sehingga kini juga, tiada aduan rasmi diterima oleh KPDN Johor terhadap isu gangguan kekurangan bekalan keperluan ini," katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 8:42 AM