Nassuruddin Daud beramah mesra dengan guru pondok dan pelajar pondok yang hadir pada Program Sambutan Maulidur Rasul Perdana 1445H di Kompleks Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan di Kampung Cherang Tuli, Padang Pak Amat di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali.
Nassuruddin Daud beramah mesra dengan guru pondok dan pelajar pondok yang hadir pada Program Sambutan Maulidur Rasul Perdana 1445H di Kompleks Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan di Kampung Cherang Tuli, Padang Pak Amat di sini, hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali.
Oleh Hidayatidayu Razali


Pasir Puteh: Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa bencana dalam masa terdekat bagi merangka persediaan menghadapi bencana banjir susulan musim tengkujuh tidak lama lagi.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, Kelantan sering berlaku banjir terutama di beberapa daerah iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Pasir Puteh.

"Persediaan untuk menghadapi banjir kita buat macam biasa (seperti tahun sebelum ini). Kita akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat kerana sudah ada jadual.

"Bila masuk hujung tahun kita buat persediaan banjir seperti makanan, tempat pemindahan dan sebagainya. Namun, kita doa supaya banjir (tahun ini) tidak besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Sambutan Maulidur Rasul Perdana 1445H di Kompleks Guru-Guru Pondok Negeri Kelantan di Kampung Cherang Tuli, Padang Pak Amat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Pengerusi Persatuan Guru-guru Pondok negeri Kelantan, Wazir Che Awang.

Media sebelum ini melaporkan, negeri di kawasan Pantai Timur, utara dan sebahagian besar Sabah dan Sarawak dijangka meneĀ­rima taburan hujan tinggi menjelang dua minggu terakhir September ini.

Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Chung Jing Xiang berkata, perubahan cuaca adalah normal berikutan peralihan monsun Barat Daya ke Timur Laut.

"Sewaktu musim peralihan monsun, taburan hujan biasanya akan lebih tinggi terutama pada sebelah petang dan hujan lebat biasanya turun bersama ribut petir," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 5:13 PM