Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Dunia memerlukan perubahan sistematik yang drastik termasuk penyelarasan semula secara menyeluruh membabitkan institusi global dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Gesaan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melihat kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan ketidaksamaan yang semakin meluas, sekali gus menjarakkan lagi negara dan rakyat.

Mengulas lanjut katanya, laporan SDG 2023 mengesahkan bahawa dunia ketinggalan dalam aspek itu dengan hampir satu pertiga daripada sasaran, sama ada ia berada dalam keadaan tidak berubah atau lebih teruk lagi, mundur.

"Ekonomi global juga diunjurkan terus dibebani oleh ketidaktentuan geopolitik, gangguan bekalan rantaian, kenaikan harga komoditi, selain keadaan kewangan yang mencabar.

"Keadaan ini meluaskan lagi jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pendapatan, menyebabkan ketidaksamaan yang berterusan, ...memandangkan pertumbuhan pendapatan tidak selari dengan pertumbuhan ekonomi, isi rumah kini dibebani hutang.

"Kita berdepan dengan situasi di mana adanya kehidupan sangat mewah yang berdampingan dengan golongan sangat miskin," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78 di New York, hari ini.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, perbezaan itu terletak pada empat perkara penting iaitu kemampuan mereka menikmati makanan, tempat tinggal, akses kepada pendidikan berkualiti dan penjagaan kesihatan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres dilaporkan menggesa sebuah pelan menyelamat global untuk SDG disediakan berikutan pada peringkat ini, hanya 15 peratus daripada sasaran berjalan mengikut jadual.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:14 AM