Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Malaysia menyuarakan kebimbangan mengenai perkauman bentuk baharu yang muncul terhadap umat Islam seperti xenofobia, pemprofilan secara negatif dan stereotype.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan perkembangan itu membimbangkan kerana mencetuskan kebencian, sikap tidak bertoleransi dan keganasan terhadap umat Islam dan kitab suci al-Quran.

"Pembakaran al-Quran tidak lain hanyalah tindakan Islamofobia yang jelas bertujuan menghasut kepada kebencian. Tidak bertindak terhadap provokasi yang dilakukan secara terang-terangan terhadap agama adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan memberikan mesej berbahaya kepada kemanusiaan," katanya.

Beliau menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 di New York, hari ini.

Anwar berkata, penerapan nilai yang menerima di antara satu sama lain, toleransi dan saling menghormati perlu disemai dalam kalangan masyarakat dunia.

Pada masa sama, Malaysia turut menggesa semua negara meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara budaya, tamadun, dan agama.

Katanya, walaupun berbeza kepercayaan, namun ia bukan penghalang untuk semua bersatu membina persefahaman dan muhibah dalam kalangan rakyat, selain mengukuhkan keamanan serta keharmonian di antara negara.

"Saya benar-benar percaya bahawa apa sahaja cabaran, tidak akan dapat diatasi tanpa komitmen kolektif komuniti global dalam kalangan negara anggota institusi yang mulia ini.

"Apa yang kita perlukan adalah kepercayaan dan keyakinan untuk menjadikan dunia tempat yang lebih baik, kemahuan untuk bekerjasama dalam platform konsensus dan perpaduan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 11:39 PM