New York : Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggerakkan usaha multilateral secara bersungguh-sungguh bagi menyelesaikan konflik Ukraine yang berlarutan hingga memberi kesan kepada penduduk seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan adalah penting kepada semua pihak untuk kembali berdialog dan menyelesaikan segala persengketaan di meja rundingan.
"Kami (Malaysia) mengecam sekeras-kerasnya, pencerobohan Rusia di Ukraine. Konflik di Ukraine, mengabaikan usaha damai menerusi rundingan.
"Masa terus berjalan, berikutan kegagalan menangani krisis Russia-Ukraine yang panjang ini, saya menggesa usaha multilateral secara bersungguh-sungguh diketuai PBB untuk menyelesaikannya," katanya.
Beliau berkata demikian menyampaikan Kenyataan Negara di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 di New York, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, menegaskan keamanan tidak akan dapat dicapai tanpa menamatkan permusuhan membabitkan semua pihak.
Justeru, katanya, adalah penting untuk semua pihak kembali berdialog dan menyelesaikan perselisihan antara mereka melalui meja rundingan.
"Konflik di Ukraine memberi kesan kepada seluruh dunia apabila harga makanan melambung tinggi, ia membawa kepada kekurangan bekalan hingga menyebabkan kelaparan dan kekurangan zat makanan serta menyebabkan rasa putus asa.
"Seperti konflik di tempat lain, sama ada di Asia Barat atau Asia Tenggara, ia turut mengakibatkan migrasi secara paksa, lambakan pelarian dan penduduk tanpa kerakyatan.