SIMPANG Pelangai antara pekan kecil yang ada di DUN Pelangai. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
SIMPANG Pelangai antara pekan kecil yang ada di DUN Pelangai. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


Bentong: Stesen minyak, bank dan pasar raya mini antara permintaan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai kepada calon yang akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 7 Oktober ini.

Selain itu penduduk mahu jalan raya yang menghubungkan pekan ini sehingga ke Karak dibaik pulih atau dinaiktaraf selain lampu jalan perlu dipasang.

Generasi kedua Felda Chemomoi, A Fazil Abas, 51, berkata, bank sangat diperlukan penduduk berikutan bank berhampiran terletak di daerah Jelebu, Negeri Sembilan iaitu kira-kira 10 kilometer dari Simpang Pelangai.

Katanya, di sini, hanya ada sebuah mesin pengeluaran wang saja dan ia tidak mencukupi kerana penduduk memerlukan sebuah bank.

"Bank yang ada di daerah Bentong ini terletak di Karak iaitu kira-kira 45 kilometer dan di Triang atau Kemayan dalam daerah Bera kira-kira 30 kilometer dari sini.

"Penduduk perlukan bank sekali gus menjimatkan masa ke tempat lain," katanya ketika ditemui.

Bagi peniaga kecil, Noratikah Selamat, 28, dari Kampung Bukit Gajah, penduduk berharap sesiapa saja calon yang menang PRK itu nanti dapat mengusahakan sebuah stesen minyak dibuka di sini.

Katanya, kebiasaan untuk mengisi petrol harian, penduduk membeli daripada peniaga yang menjualnya di dalam botol dan harga lebih mahal daripada harga biasa.

"Stesen minyak terdekat ada di Simpang Durian, Jelebu kira-kira 10 kilometer dari sini manakala jika mahu mengisi minyak di Telemong berada kira-kira 25 kilometer.

"Selain itu, penjaja kecil yang ada di Simpang Pelangai mahu sebuah gerai bagi membolehkan kami berniaga dengan selesa," katanya.

Mohd Saidi Karim, 46, dari Karak pula berkata, dia berharap kerajaan dapat memperelokkan Jalan Simpang Pelangai-Karak yang menjadi tumpuan ke Kuala Lumpur atau sebaliknya.

"Ada sebahagiannya sempit malah jalan itu turut dilalui banyak kenderaan berat, manakala pada sebelah malam laluan di situ gelap gelita dan saya pernah dinasihatkan orang ramai jangan melalui jalan itu selepas jam 6 petang," katanya.

PRK DUN Pelangai diadakan apabila penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun meninggal dunia selepas terbabit dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 3:10 PM