Anwar Ibrahim berjalan kaki dari tempat penginapan ke majlis Invest Malaysia hari ini. FOTO BERNAMA
Anwar Ibrahim berjalan kaki dari tempat penginapan ke majlis Invest Malaysia hari ini. FOTO BERNAMA
Ahmad Zaini Kamaruzzaman


New York: Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, kelmarin menyifatkan bosnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Top Salesman atau 'jurujual' terbaik Malaysia.

Beliau sentiasa berkerja keras untuk menjual jenama Malaysia, terutama ketika lawatan keluar negara bagi menarik pelaburan.

Tengku Zafrul memberikan contoh ketika Sidang Kemuncak Asean di Jakarta dan jadual ketat Anwar yang memenatkan ketika di Nanning, China baru-baru ini.

Pada hari pertama beliau di New York sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNGA ke-78 kelmarin, Perdana Menteri terus menjadi jurujual ketika mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin negara asing.

Semalam seawal jam 8.30 pagi (malam di Malaysia), beliau diiringi Tengku Zafrul dan delegasi Malaysia, berjalan sejauh kira-kira 15 minit dari hotel penginapan Conrad New York Midtown di 54th Street ke The Harvard Club of New York City dan Sofitel New York di 44th Street untuk sekali lagi menjadi 'jurujual'.

Di Harvard Club, beliau mengadakan perbincangan meja bulat bersama 15 wakil syarikat terkemuka dalam Fortune 500, termasuk Airbnb, Amazon, AWS, Boeing, ConocoPhilips dan Kimberly-Clark yang dianjurkan MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Beliau berkongsi Kerangka Ekonomi Madani yang disokong oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara 2050 (NETR) serta Kajian Separuh Penggal RMK-12 yang akan menjadi panduan dalam mencapai matlamat pembangunan negara.

Selepas perbincangan itu Anwar berkata beliau menghargai maklum balas positif dan input membina yang dikongsikan oleh wakil syarikat berkenaan.

Selepas itu beliau beralih ke Sofitel untuk menghadiri satu lagi acara.

Kali ini Invest Malaysia New York anjuran Bursa Malaysia dengan tema Mengembalikan Malaysia Sebagai Peneraju di Asia. (For NST-Regaining Malaysia's Lead in Asia).

Beliau menyampaikan ucaptama dalam acara yang dihadiri pengurus dana dan wakil syarikat pasaran modal di AS serta berinteraksi dengan mereka dalam sesi soal jawab.

Turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Awang Adek Hussin dan Gabenor Bank Negara ,Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Memulakan ucapannya, Anwar berkongsi latar belakang Malaysia dengan kepelbagaian penduduk dan seterusnya menyentuh mengenai ekonomi, politik dan kegagalan lampau pengurusan pentadbiran negara.

Katanya, beliau melaksanakan transformasi pentadbiran dan ekonomi untuk meletakkan negara di landasan yang tepat dengan tumpuan mengembalikan ekonomi Malaysia seperti suatu ketika dahulu.

Beliau mempelawa pelabur antarabangsa datang ke Malaysia dan memberi jaminan bahawa transformasi yang dilaksanakan termasuk mewujudkan persekitaran mesra pelabur dan perniagaan bakal memberi manfaat kepada mereka.

Katanya, ia termasuk membetulkan kesilapan dasar dan tindakan masa lampau yang menyebabkan pembangunan dan kemajuan negara serta rakyat terjejas akibat penurunan purata pertumbuhan ekonomi.

Menurut Perdana Menteri sejak beberapa tahun lalu, angka pelaburan susut berbanding peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Sumber ekonomi baharu yang mampu memacu pertumbuhan tidak diberikan tumpuan kerana lebih banyak aktiviti domestik sehingga tidak memanfaatkan sepenuhnya peluang di pasaran global.

"Justeru, saya tiada pilihan kecuali bertindak melakukan penstrukturan semula terhadap Malaysia.

"Keutamaan adalah tiga perkara iaitu memperkukuh tadbir urus negara, menstruktur semula ekonomi dan membuka jalan bagi masa depan kita," katanya.

Anwar menjelaskan kestabilan politik yang ditambah transformasi yang beliau laksanakan mula menampakkan kesan apabila pelabur mula menunjukkan minat.

Ia termasuk Infineon Technologies, syarikat semikonduktor global, dari Jerman telah bersetuju menambah AS$5.4 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk pembinaan kilang fabrikasi kuasa silikon karbida 200mm terbesar dunia, di Malaysia.

Kehadiran Tesla yang agak pantas walaupun ada saingan negara serantau, selain Amazon dan Infineon, membuktikan mereka yakin dengan transformasi pentadbiran dan dasar ekonomi yang beliau laksanakan.

Sebenarnya bukan dua sahaja tugasan Anwar sebagai 'jurujual', sebaliknya ada lapan lagi selepas itu yang semuanya berakhir pada jam 10.30 malam.

Antaranya, tiga sesi mesyuarat perniagaan secara berasingan dengan sebuah syarikat, mesyuarat bersama Microsoft dan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Thailand, Strettha Thavisin dan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia' Al Sudani.

Selain itu sesi temuramah oleh agensi media Bloomberg, dan bertemu Wakil Presiden Amerika Syarikat Untuk Cuaca, John Kerry yang juga bekas Setiausaha Negara.

Jumaat adalah hari terakhir tugasan Perdana Menteri di New York, iaitu menyampaikan kenyataan negara di UNGA, khutbah solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York dan majlis Temu Anwar bersama rakyat Malaysia sebelum pulang pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 8:33 AM