Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 5 bagi tahun 2023 di Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Bilangan 5 bagi tahun 2023 di Putrajaya hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Penguatkuasaan bersepadu Op Jamin akan diteruskan supaya kekurangan bekalan beras negara dapat diatasi segera dan dipulihkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata Op Jamin yang bermula sejak 7 Julai lalu sudah melakukan 37 pemeriksaan membabitkan 2,322 premis kilang, borong dan runcit di seluruh negara, dengan 142 aduan diterima melibatkan isu bekalan serta harga beras.

"Antara aduan yang banyak diterima adalah berkaitan jurang harga yang sangat tinggi antara beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI).

"Ini menyebabkan peniaga dan pengusaha kedai makanan beralih kepada BPT sebagai pilihan beras yang murah hingga menyebabkan bekalan BPT kurang di pasaran, lebih-lebih lagi di Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini hari ini.

Pada 7 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bekerjasama bagi menjalankan Op Jamin bertujuan menguat kuasa dan memantau bekalan beras di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata pada mesyuarat itu, beliau turut berpandangan bahawa stok penimbal beras negara hanya perlu digunakan bersama stok beras semasa sekiranya situasi bekalan beras dalam negara tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa terdekat.

"Saya juga menegaskan agar gerakan bersepadu rentas kementerian terus dilaksanakan khususnya Jualan Rahmah, Jualan Agro MADANI dan MyGrocer@Wilayah dan diperluaskan di peringkat Dewan Undangan Negeri serta Parlimen di setiap negeri," katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Katanya, pelbagai inisiatif dan program bagi memastikan ketersediaan dan keberadaan beras tempatan telah dijalankan kerajaan antaranya Program Khas Beras Putih Tempatan yang menyaksikan unjuran tambahan BPT sebulan sebanyak 23,000 tan metrik.

Beliau berkata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Penyatuan Dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) juga telah dipertanggungjawabkan untuk membekalkan beras di kawasan yang mengalami gangguan dan melancarkan talian hotline bagi pengguna melaporkan isu serta masalah berkaitan bekalan serta penyelewengan beras.

Mengenai bekalan ayam dan telur ayam, Ahmad Zahid berkata KPKM telah diarah agar jaminan terus diberikan bagi ketersediaan bekalan dan kestabilan harga ayam dan telur ayam di peringkat ladang untuk memastikan keberadaan bekalan itu di peringkat borong serta runcit.

"KPDN juga akan memastikan kekerapan pemantauan penguatkuasaan terhadap harga dan bekalan sepanjang masa," katanya.

Menerusi mesyuarat itu juga, Ahmad Zahid berkata beliau turut mencadangkan semua agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) khususnya Lembaga Kemajuan Wilayah untuk memulakan penanaman kekacang (legum) bagi mengurangkan kos import makanan ayam.

Menurutnya, cadangan berkenaan sudah dibincangkan di Sabah dan Sarawak untuk tujuan penggunaan tanah negeri dan telah dipersetujui untuk mewujudkan jalinan kerjasama pintar KPKM bagi memastikan harga dan bekalan ayam sentiasa stabil.

Legum merupakan tumbuhan dari kumpulan Fabaceae atau buah yang tumbuh secara agrikultur. Ia digunakan sebagai makanan manusia, ternakan dan baja hijau untuk meningkatkan kesuburan tanah.

Kerajaan mengumumkan sudah membelanjakan kira-kira RM3.77 bilion untuk subsidi ayam dan telur ayam bagi memastikan bekalan dan harga ayam dan telur ayam kekal stabil bagi tempoh 2022 hingga 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 5:27 PM