ANWAR bersama Erdogan beramah mesra dengan delegasi Malaysia ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena UNGA ke-78 di Turkish House hari ini. FOTO Bernama
ANWAR bersama Erdogan beramah mesra dengan delegasi Malaysia ketika mengadakan pertemuan dua hala sempena UNGA ke-78 di Turkish House hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

New York: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran baru-baru ini dan wacana populis yang menghasut ucapan kebencian terhadap Islam.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu selepas pertemuan pemimpin itu di New York di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-78, mereka juga menyatakan kebimbangan terhadap kemunculan "bentuk perkauman baharu" yang bercirikan xenofobia, profil negatif, dan stereotaip terhadap umat Islam.

Erdogan dan Anwar juga menyatakan "kebimbangan mendalam" mengenai "trend peningkatan kebencian, sikap tidak bertoleransi, diskriminasi, dan tindakan keganasan terhadap umat Islam dan kesucian mereka yang telah mencapai tahap yang membimbangkan di banyak bahagian dunia, terutamanya di Eropah," Agensi Anadolu memetik kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin itu berkata, mereka menyambut baik penerimaan Resolusi Perhimpunan Agung 76/254 untuk mengisytiharkan 15 Mac sebagai "Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia."

Mereka juga menyambut baik perbahasan segera semasa sesi ke-53 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membincangkan "peningkatan yang membimbangkan" dalam tindakan kebencian agama yang dirancang dan dilakukan secara terbuka seperti yang dimanifestasikan oleh penghinaan berulang-ulang terhadap al-Quran dan penerimaan resolusi Hak Asasi Manusia PBB yang mendefinisikan pembakaran kitab suci sebagai kebencian agama.

Pemimpin-pemimpin itu juga mengalu-alukan Resolusi Perhimpunan Agung 77/318 mengenai Mempromosikan Dialog Antara Agama dan Antara Budaya serta Toleransi dalam Menentang Ucapan Kebencian yang diterima pakai pada 25 Julai.

Menurut kenyataan itu, Erdogan dan Anwar juga menekankan bahawa tindakan kebencian agama, perkauman, diskriminasi, dan xenofobia adalah ancaman terhadap keamanan dan menghasut budaya keganasan.

Pemimpin-pemimpin itu juga menyeru semua pihak berkepentingan termasuk kerajaan, untuk meningkatkan usaha menangani diskriminasi, xenofobia, perkauman dan ucapan kebencian mengikut prinsip hak asasi manusia antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 11:29 AM