BERNAMA

Bentong: Perikatan Nasional (PN) sekali lagi mengetengahkan Naib Yang Dipertua PAS Bentong Kasim Samat, sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengumumkan perkara itu berkata pemilihan semula Kasim, disepakati semua parti komponen PN.

"Parti (PAS) menerima senarai tiga calon...kita bawa bincang dalam Majlis Syura dan terima bahawa ketiga-tiga calon dari segi syarie layak.

"Parti bincang siapa yang terbaik, kami tengok siapa yang paling dekat dengan pengundi. Calon dari Pelangai sendiri, anak jati yang tinggal di sini," katanya pada majlis pengumuman calon PN yang diadakan di Simpang Pelangai di sini malam ini.

Kasim, 62, atau lebih dikenali sebagai sebagai Cikgu Kasim sebelum ini pernah bertanding di DUN Pelangai pada Pilihan Raya Umum Ke-15, namun tewas kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun daripada Barisan Nasional (BN), yang menang dengan majoriti 4,048 undi.

Kasim adalah bekas guru sekolah menengah dan kolej matrikulasi ketika ditemui media berkata beliau berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepimpinan PN.

"Saya akur dan saya berjanji saya akan bekerja untuk masyarakat di DUN Pelangai ini," kata Kasim yang juga Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Pahang.

PRK Pelangai akan berlangsung pada 7 Oktober ini, susulan kematian Johari yang merupakan penyandang bagi DUN itu dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 23 September ini, manakala 3 Oktober ditetapkan sebagai hari pengundian awal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 11:51 PM
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) bersama Kasim Samat (dua kanan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (dua kiri) pada majlis pengenalan Calon PRK DUN Pelangai. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) bersama Kasim Samat (dua kanan), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (dua kiri) pada majlis pengenalan Calon PRK DUN Pelangai. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG