DATUK Amizar Abu Adam. FOTO BERNAMA
DATUK Amizar Abu Adam. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Bentong: Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong Datuk Amizar Abu Adam diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.

Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membuat pengumuman itu berkata pemilihan Amizar, 50, dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jadi saya harap, bagi rakan-rakan yang disebut (sebagai calon) tetapi tak tersenarai, tidak merajuk atau bercuti. Kita sebagai orang parti, tolonglah kawan kita ini (Amizar) untuk menang di Pelangai.

"Ahli UMNO ada 3,040 orang di Pelangai, jadi saya harap kita ahli parti kerja keras, dapat keluarkan sekurang-kurangnya 90 peratus ahli kita keluar mengundi, terus bagi sokongan dan dukungan supaya calon kita boleh menang dengan cemerlang," katanya.

Turut hadir Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC Datuk M Asojan.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang pada masa sama berharap PRK Pelangai akan menjadi noktah kepada apa yang dikatakan sebagai 'gelombang hijau'.

"Pilihan Raya Negeri lepas kita lihat terutamanya di Terengganu, Kelantan dan Kedah...dikaitkan dengan gelombang hijau ini, jadi sama-sama kita noktahkannya di sini," katanya.

Sementara itu, Amizar yang berasal dari Felda Chemomoi terletak dalam DUN Pelangai berkata beliau akan sedaya upaya menterjemahkan mandat dan kepercayaan parti kepadanya dalam bentuk kemenangan pada PRK Pelangai nanti.

"Saya akan usahakan kemenangan, saya nak teruskan khidmat, teruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun kepada Pelangai," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan dan Kepimpinan Strategik Universiti Sains Malaysia (USM).

PRK DUN Pelangai akan diadakan pada 7 Oktober ini berikutan kematian Johari, 53, dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada petang 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 11:22 PM