FOTO Arkib NSTP
FOTO Arkib NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Persatuan Suluk Bersatu Sabah (PSBS) diminta memainkan peranan dalam usaha merancakkan suasana perniagaan di Pasar Muafakat Sabah yang didakwa sepi dan lengang tanpa pengunjung sejak dua tahun lalu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, pihaknya sentiasa berusaha merangka dan mengkaji semula aktiviti dan kepelbagaian jenis perniagaan di pasar terbabit.

Katanya, ini supaya ia mampu memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat dan penduduk setempat.

"Namun begitu PSBS turut diminta memainkan peranan dalam merancakkan suasana perniagaan di Pasar Sabah ini dengan merangka aktiviti berkala seperti kebudayaan, sukan mini, hiburan ringan dan sebagainya untuk menarik lebih ramai pelanggan.

"Sehingga kini, sebanyak 29 unit disewakan dan terdapat 11 unit masih kosong. Sebanyak 19 penyewa aktif yang mana 17 adalah penyewa bagi perniagaan makanan, satu penyewa perniagaan pelbagai dan satu penyewa perniagaan kraftangan, manakala 10 penyewa adalah tidak aktif (tidak menjalankan perniagaan).

"Mengikut rekod transkasi pula, 22 penyewa mempunyai tunggakan dengan jumlah keseluruhan adalah RM6,1434.50," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Jelas Asman Shah, hasil lawatan tapak yang dijalankan secara berkala mendapati terdapat beberapa penyewa mengambil kesempatan dengan menyewakan lot sewaan mereka kepada pihak ketiga.

Katanya tindakan itu tidak dibenarkan dan melanggar perjanjian sewaan yang ditetapkan.

"Akibat daripada tindakan ini, penyewa semasa boleh ditamatkan sewaan dan perlu memulangkan milikan kosong kepada MBPG selaku pemilik bangunan. Selain itu, ia juga akan menutup peluang peniaga lain yang betul-betul memerlukan ruang niaga.

"Pengiklanan dan hebahan kekosongan lot untuk disewakan sudah dibuat melalui platform sosial media rasmi Majlis Bandaraya Pasir Gudang namun tiada sambutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 10:36 PM