MUHD  Razqie Afdhal Mohd Nizam menerima hadiah motosikal Modenas Kriss MR3 dan wang tunai RM3,000 sumbangan Aisar Khaledd.FOTO Ihsan MUHD  Razqie Afdhal Mohd Nizam
MUHD Razqie Afdhal Mohd Nizam menerima hadiah motosikal Modenas Kriss MR3 dan wang tunai RM3,000 sumbangan Aisar Khaledd.FOTO Ihsan MUHD Razqie Afdhal Mohd Nizam
Redzuan Muharam


Nilai: "Saya memang sudah lama kumpul duit nak beli motosikal cuma belum cukup dan tak sangka dapat juga apa yang diidamkan," kata Muhd Razqie Afdhal Mohd Nizam.

Muhd Razqie Afdhal, 16, adalah individu yang merakam video penunggang p-hailing, Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar, 26, yang mendapat perhatian di laman sosial selepas gambar dan videonya berjalan kaki sambil menggalas beg makanan tular.

Motosikal Muhammad Shahrul Shah disita dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Persiaran Negeri di Nilai, di sini.

Selepas Muhammad Shahrul menerima motosikal, kini giliran Muhd Razqie Afdhal pula mendapat hadiah motosikal Modenas Kriss MR3 sumbangan Aisar Khaledd.

Dalam satu video tular, Aisar turu memberikan hadiah wang tunai RM3,000 kepada Muhd Razqie Afdhal.

Berkongsi perasaannya, Muhd Razqie Afdhal mengakui terharu dan berterima kasih kepada Aisar atas hadiah motosikal serta sumbangan wang tunai yang diberikan.

"Jumaat lalu, saya terima mesej daripada wakil Aisar Khaledd di TikTok yang minta nombor untuk menghubungi saya.

"Keesokannya (Sabtu), saya jumpa dengan Aisar dan dibawa ke kedai motosikal.

"Di situ, Aisar minta saya pilih motosikal yang saya mahu dan beri kejutan lagi dengan hulurkan sumbangan wang tunai.

"Perasaan saya bercampur baur ketika itu kerana sudah lama impikan untuk ada motosikal sendiri, kalau boleh nak beli Ysuku (Yamaha Y15ZR) tetapi dapat hadiah tempoh hari pun sudah bersyukur sangat," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mengimbas mengenai kisah tular, Muhd Razqie Afdhal berkata, dia terserempak dengan Muhammad Shahrul Shah ketika dalam perjalanan pulang dari Putrajaya ke asrama di sini.

Katanya, video berkenaan dirakam secara spontan kerana kasihan melihat Muhammad Shahrul Shah berjalan kaki selepas motosikal disita.

"Waktu itu, saya dan rakan yang membonceng di belakang pun ditahan dalam sekatan jalan raya berkenaaan kerana menunggang motosikal tanpa lesen.

"Motosikal itu milik bapa rakan saya dan selepas ia disita, saya nampak abang itu (Muhammad Shahrul Shah) berjalan kaki dan terus rakam videonya berjalan kaki.

"Saya tak sempat nak tegur abang itu kerana nampak dia macam nak cepat dan berjalan laju ke depan," katanya.

Tidak lama selepas itu, Muhd Razqie Afdhal terus memuat naik video dirakam di TikTok dengan niat berkongsi pengalaman menyaksikan detik berkenaan.

"Saya saja muat naik di TiKTok dan terkejut apabila banyak notifikasi masuk tak lama kemudian.

"Jumlah tontonan video juga tinggi iaitu mencecah 7.2 juta sehingga hari ini.

"Terima kasih kepada yang beri sokongan terutama warga TikTok yang bantu kongsi video hingga ramai prihatin dengan nasib abang itu.

"Jujurnya rasa bersalah selepas muat naik video itu kerana segelintir netizen membuat andaian tak benar namun saya bersyukur juga apabila ramai nak membantunya.

"Saya doakan urusan abang itu dipermudahkan dan jika ada kesempatan, saya teringin sangat nak berjumpa dengannya (Muhammad Shahrul Shah)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 6:16 PM