FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


Selayang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat mendapatkan perluasan kuasa dalam penguatkuasaan isu bekalan beras yang menjadi dilema rakyat terutama golongan B40 ketika ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) yang dipengerusikan oleh beliau esok.

Menurutnya, beliau berharap Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dapat menimbangkan supaya penguat kuasa KPDN diberikan perluasan kuasa atau 'extension of authority' mengikut Sub Seksyen 6(1) Akta 522.

"(Dalam mesyuarat di peringkat jawatankuasa eksekutif) esok antara isu yang akan dibawa dan bentangkan ialah untuk pertimbangan hasrat kita di KPDN supaya dapat diberikan 'extension of authority'.

"Ini bukan delegation (perwakilan) tetapi 'extension of authority'. Ia boleh dipertimbangkan secara terhad bagi tempoh masa tertentu untuk aspek penguatkuasaan itu ditingkatkan demi kepentingan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan pemantauan harga barangan keperluan asas di dua premis sekitar Selayang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, berdasarkan maklumat, KPKM mempunyai seramai 190 penguat kuasa, manakala KPDN mempunyai 2,200 penguat kuasa.

"Aspek penguatkuasaan dalam isu beras perlu dilakukan di semua premis (seluruh negara) dan sekiranya Ops Jamin melakukan pemantauan kita perlu bergerak bersama pegawai KPKM (tetapi) jumlah (penguat kuasa) mereka terhad.

"Kita (KPDN) (hanya) melihat Akta Perihal Dagangan, pembungkusan barang tetapi tidak boleh campur tangan aspek penentuan harga dan bekalan," katanya.

Beliau berkata, KPDN bersedia membantu dan memberi kerjasama rapat kepada KPKM demi kepentingan masyarakat.

"Perluasan kuasa itu membolehkan kita bukan sekadar melihat, memantau dan menyalurkan maklumat tetapi penguat kuasa KPDN boleh terus mengambil tindakan penguatkuasaan.

"Kita boleh menyalur maklumat dan tidak boleh ambil tindakan serta merta tetapi jarak tempoh (penyaluran maklumat dan tindakan mengambil masa) mungkin pihak berkenaan boleh menutup kesalahan itu.

"Sekiranya KPKM berasa sesuai dan dapat dipertimbangan kita dapat memperkasakan (penguatkuasaan bekalan beras) di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 4:36 PM