GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang pengetua dan ketua pembantu tadbir sebuah sekolah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang, hari ini selepas disyaki bersubahat meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM17,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 53 tahun dan suspek wanita berusia 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Kluang, kira-kira jam 7 petang tadi.

Mereka ditahan selepas hadir memberi keterangan di pejabat SPRM berkenaan.

"Difahamkan, pada Januari lalu, suspek meminta dan menerima wang rasuah daripada seorang kontraktor.

"Ia dikatakan sebagai balasan kerana memberikan kerja-kerja penyelenggaraan pagar di asrama sekolah berkenaan kepada syarikat milik kontraktor terbabit," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua suspek terbabit dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 9:02 PM