Putrajaya: Keputusan menggugurkan Datuk Dr Norhafizah Musa dalam Program Muslimah Putrajaya Berselawat yang dijadualkan pada 24 September ini adalah hak penganjur dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) tidak terbabit mengenainya, kata Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Menurutnya, susulan aduan yang diterima mempertikaikan pembabitan Norhafizah dalam program berkenaan, pihak Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini, selaku rakan kerjasama program telah mengadakan perbincangan bersama penganjur utama yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan.
"Dan kesepakatan telah dipersetujui sebagai langkah mengelakkan isu berbangkit timbul, maka nama beliau telah digantikan dengan tokoh lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Norhafizah dalam catatan di laman Facebook mendakwa pengguguran namanya dalam program itu dibuat atas arahan pihak atasan.
"Semoga isu ini tidak diperbesarkan dan menjadi hak penganjur untuk menentukan keputusan bagi memastikan program tersebut berjalan dengan lancar," kata Hakimah.