GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang kontraktor terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan sabitan dan hukuman mati terhadapnya bagi kesalahan mengedar dadah.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk M.Gunalan dan Datuk S.M Komathy Suppiah membenarkan rayuan Feroz Mohamed selepas memutuskan bahawa sabitan terhadapnya adalah tidak selamat untuk dikekalkan.

Dalam penghakimannya, Vazeer Alam berkata ini kerana kes pendakwaan adalah berdasarkan keterangan anggota polis yang melakukan serbuan.

Beliau berkata keterangan itu adalah meragukan dan telah menimbulkan kesangsian terhadap kredibiliti saksi tersebut mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada hari serbuan dilakukan.

Peguam Afifuddin Ahmad Hafifi, yang mewakili Feroz, mengesahkan keputusan mahkamah itu kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Pada 26 November 2021, Mahkamah Tinggi mensabitkan Feroz dengan dua pertuduhan mengedar ganja dan menjatuhi hukuman mati terhadapnya.

Bagi kesalahan pertama, lelaki berusia 47 tahun itu didakwa mengedar 10,221.50 gram ganja di sebuah rumah di Jalan Permatang Kuala, Penaga, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang pada 1 tengah hari 25 Jun 2018.

Dia turut didakwa mengedar 2,354 gram ganja di sebuah rumah pangsa di Taman Seri Pinang, Seberang Prai Utara, Pulau Pinang pada 2 petang hari yang sama.

Pada prosiding hari ini, Afifuddin mengemukakan tiga hujah membabitkan tiga isu termasuk kegagalan hakim Mahkamah Tinggi menimbang kredibiliti anggota polis yang memberi keterangan.

Saksi itu adalah sebahagian daripada pasukan yang melakukan serbuan di mana dadah terbabit ditemukan dan beliau juga adalah individu yang menemukan dadah di dalam kenderaan yang dipandu oleh Feroz.

Beliau juga adalah anggota polis yang ke rumah pangsa di mana dadah itu ditemukan, dengan berpandukan maklumat daripada Feroz.

Afifuddin berhujah bahawa rakaman percakapan oleh saksi pembelaan yang bertemu dengan anggota polis itu sebelum beliau memberi keterangan di mahkamah menunjukkan bahawa individu yang dikenali sebagai Taiyob wujud namun tiada usaha dilakukan untuk menyiasat atau mengesan lelaki tersebut.

Pembelaan Feroz ialah ganja terbabit milik Taiyob yang tinggal di rumah pangsa di mana ia ditemukan.

Tertuduh juga mendakwa Taiyob telah menggunakan kereta terbabit dan dadah yang ditemukan dalam kenderaan itu adalah milik lelaki berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir hadir bagi pihak pendakwaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 8:07 PM