MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika meninjau keadaan bangunan lama  di Sekolah Kebangsaan (P) Bandar Tinggi, Jalan Abdul Rahman Andak Johor. FOTO Arkib NSTP
MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika meninjau keadaan bangunan lama di Sekolah Kebangsaan (P) Bandar Tinggi, Jalan Abdul Rahman Andak Johor. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Pembangunan projek sekolah dan klinik daif menerusi usaha kerajaan dalam inisiatif Ekonomi Madani diyakini memberi manfaat besar kepada rakyat terutama golongan yang memerlukan.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) Datuk Seri Halim Ishak mengakui inisiatif itu langkah proaktif kerajaan yang berupaya meningkatkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dalam negara.

Menurutnya, kejayaan projek itu bagaimanapun hanya boleh dicapai dengan tatakelola cekap dan pengurusan isu rasuah serta salah guna kuasa.

Katanya, jika masalah rasuah serta salah guna kuasa diatasi, baru rakyat dapat menikmati manfaat penuh daripada projek dilaksanakan sekali gus bergerak ke arah pembangunan lebih berjaya.

"Klinik daif membantu mengurangkan masalah penyakit tidak dirawat dengan segera dan kemudahan itu juga boleh membantu mengurangkan kadar kematian awal, penyebaran penyakit berjangkit selain menjadikan masyarakat lebih sihat secara keseluruhan.

"Pembangunan sekolah lebih baik lengkap dengan kemudahan asas pula memberikan pendidikan lebih berkualiti.

"Jadi, menyegerakan projek sekolah dan klinik daif memang usaha baik dalam memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan pendidikan dan rawatan kesihatan diperlukan tanpa perlu menanggung beban kewangan terlalu tinggi," katanya.

Menurut Halim, dengan pendidikan lebih baik, rakyat mendapat peluang dalam pencapaian akademik hingga berpotensi melanjutkan ke pengajian tinggi.

Katanya, peluang itu juga membolehkan generasi muda meningkatkan taraf hidup keluarga.

"Secara tidak langsung, mereka membantu mengurangkan kadar kemiskinan dalam jangka panjang. Tanpa tatakelola cekap, manfaat sepatutnya dikecapi rakyat boleh terancam.

"Lebih memburukkan keadaan apabila isu rasuah dan salah guna kuasa merosakkan projek itu dan menyekat pencapaian matlamatnya," katanya.

KLINIK kesihatan baharu dengan fasiliti lengkap asas penjagaan kesihatan rakyat lebih sempurna. FOTO Arkib NSTP
KLINIK kesihatan baharu dengan fasiliti lengkap asas penjagaan kesihatan rakyat lebih sempurna. FOTO Arkib NSTP

Kerajaan menyasar menyiapkan kerja pembaikan bagi 400 klinik dan 380 sekolah daif dengan peruntukan RM1.2 bilion dengan kadar segera.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani berkata, dalam usaha menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada RM1 juta berbanding RM500,000 sebelum ini.

Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat berkata, Ekonomi Madani menetapkan sasaran jangka pendek dan digerakkan bagi menangani isu segera yang mengesankan rakyat.

Ia termasuk menyegerakan pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif.

Pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk menambah peruntukan, memudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek sekolah dan klinik daif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 7:00 AM