FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 11 individu termasuk sembilan anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot serta 'runner'.

Ia dipercayai sebagai balasan bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas bot nelayan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Sumber berkata, 11 suspek berusia lingkungan 30-an hingga 50-an itu ditahan antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Alor Star, Kedah.

Menurutnya, dua orang awam yang ditahan dipercayai memberi rasuah kira-kira RM300 hingga RM7,000 kepada sembilan anggota penguat kuasa terbabit yang berkhidmat di Kuala Kedah, Batu Uban dan Langkawi.

"Semua anggota penguat kuasa terbabit dipercayai melakukan kesalahan itu dari 2018 hingga 2021 dan mereka ditahan kerana menerima wang rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi.

"Dua orang awam terbabit pula ditahan atas kesalahan memberikan wang rasuah kepada anggota penguat kuasa berkenaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Katanya, lima suspek yang juga anggota penguat kuasa akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Star, Kedah jam 8 pagi esok, manakala selebihnya dilepaskan atas jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 8:36 PM