GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Dua lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dipercayai dibunuh di Danau Kota, Setapak, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita tempatan yang juga adik mangsa pada jam 1.48 pagi.

"Pengadu memaklumkan abangnya berusia 59 tahun meninggal dunia di dalam lori di parkir di sekitar Danau Kota.

"Hasil pemeriksaan pada badan mangsa didapati mengalami kecederaan di bahagian telinga, bengkak di kepala dan pipi, luka di mata, lebam di bahu dan tulang dada serta terdapat kesan darah dari dalam mulut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, bertindak atas maklumat Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9 menahan dua lelaki tempatan berusia 36 dan 37 tahun di lokasi kejadian.

"Punca kejadian masih dalam siasatan dan permohonan reman ke atas kedua suspek akan dipohon.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 5:52 PM