Dua remaja yang terperangkap di seberang sungai akibat air pasang di Sungai Gombak, Batu 12, Gombak, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Dua remaja yang terperangkap di seberang sungai akibat air pasang di Sungai Gombak, Batu 12, Gombak, hari ini. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Dua remaja berdepan detik cemas apabila terperangkap di seberang sungai akibat air pasang di Sungai Gombak, Batu 12, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 7.16 malam tadi.

"Seramai lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan terdapat dua sekawan terperangkap di seberang sungai berkenaan yang paras airnya meningkat tinggi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, difahamkan sebelum kejadian, kedua-dua remaja terbabit berada di kawasan sungai berkenaan untuk beriadah.

"Anggota bomba menyelamatkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun itu dengan melalui denai pada jarak tiga kilometer (km).

"Kedua-dua mangsa terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan berjaya diselamatkan anggota bomba bertugas jam 8.30 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 11:23 PM