ANWAR ketika hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta. FOTO AFP
ANWAR ketika hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN di Jakarta. FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Puluhan ribu Tenaga Kerja Indonesia (TKI) di Malaysia yang tidak mempunyai dokumen sudah dihantar pulang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata meskipun soal dokumen adalah hal yang serius, kerajaan Malaysia tetap menanganinya dengan baik, tanpa pendakwaan di mahkamah.

"Kalau yang sudah ditangkap, dikirim (dihantar) pulang, dan kita percepatkan proses itu," katanya kepada media selepas Program Temu Anwar, di sini malam ini.

Perdana Menteri ditanya oleh media tempatan mengenai proses kemajuan dalam menguruskan masalah TKI di Malaysia, selepas kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada Jun lalu.

Menyentuh mengenai isu Laut China Selatan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN hari ini, Anwar berkata: "Kita ada pendirian dan menegaskan supaya ASEAN ada pendirian yang sama untuk pertahankan hak kita dan berunding dengan baik dengan China."

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia menyambut baik keputusan pemimpin ASEAN, untuk Filipina menjadi Pengerusi ASEAN pada 2026.

"Tahun depan Laos diikuti Malaysia, kemudian sepatutnya Myanmar, tetapi konsensus tadi oleh kerana belum selesai masalah Myanmar, soal penindasan dan konflik berterusan maka diserahkan kepada Filipina, dan Presiden (Ferdinand) Marcos Jr tadi setuju. Ini satu perkembangan yang sangat positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 12:29 AM