Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO BERNAMA
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Senarai portfolio 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu yang dilantik hari ini akan dimuktamadkan esok.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau sedang meneliti portfolio yang ada sebelum ini dan akan membuat beberapa perubahan.

Beliau berkata, senarai itu akan dipersembahkan terlebih dahulu kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum diumumkan pada Mesyuarat EXCO yang pertama esok.

"Insya-Allah saya akan menyelesaikan beberapa perubahan nama portfolio dengan mengambil kira kewajarannya.

"Ia termasuklah supaya selaras dengan kedudukan badan atau agensi di peringkat kementerian dan untuk memudahkan pelaksanaan sebarang program kerajaan supaya tidak bertindih di antara ahli EXCO.

"Esok adalah mesyuarat yang pertama dan insya-Allah semua ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang mengangkat sumpah hari ini akan dimaklumkan tentang portfolio dan bidang tugas masing-masing," katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ru Rendang mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua.

Istiadat Perisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah di sini.

Selain Ahmad Samsuri, 10 EXCO turut melafaz sumpah jawatan di hadapan Sultan Mizan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2023 @ 7:23 PM