Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Petaling Jaya: "Bila ada kuasa, dia bagi (salah guna kuasa) kat anak, bini dia. Bila tak ada kuasa, laung 'nak tolong Melayu', 'hidup Melayu'," kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyindir tanpa menyebutkan mana-mana pihak, Anwar mendakwa, ada segelintir pemimpin didakwa lantang bersuara namun, menyalahgunakan kuasa apabila diberi kepercayaan dan mandat rakyat untuk memerintah.

Tegasnya, ketika menerajui kerajaan, pemimpin seharusnya bekerja habis-habisan untuk mentadbir negara dan memastikan kebajikan rakyat terbela, bukan sebaliknya.

"Bila ada kuasa, masa ini lah nak buat (kerja), bantulah habis-habisan... tetapi masa kamu perintah, kamu tak fikir ini semua.

"Bangga dengan kedudukan mereka berpuluh tahun jadi menteri. Puluhan tahun hang (kamu) berkuasa, kenapa hang tak buat?," katanya ketika berucap dalam Ceramah Jelajah Perpaduan Madani yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari di Dataran Anak Muda Petaling Jaya, di sini, hari ini.

Beliau turut mengulangi amaran kepada semua menterinya supaya tidak terbabit dengan kegiatan rasuah dan mengingatkan mereka untuk berkhidmat dengan baik.

"Saya pesan kepada semua menteri saya 'do your best' dan kalau bukti sahih dia terlibat rasuah saya akan 'terajang dia'.

"Kita cuba buat sebaiknya untuk rakyat. Dia (pembangkang) kata tujuh bulan saya jadi Perdana Menteri tak buat apa... saya bukan tidur... yang dia tiga tahun duduk dalam kerajaan dia buat apa?," katanya.

Pada masa sama, Anwar menegur tindakan segelintir pemimpin parti lawan yang menggunakan bahasa kasar dan menghamburkan cacian terhadapnya semasa berkempen.

Katanya, semua parti bertanding PRN sepatutnya berkempen secara berhemah dan tidak memaki hamun parti lawan.

"Ini tidak, bila ceramah 'Anwar khianat', 'Anwar bodoh', orang pun sorak.

"Dulu mengata saya 'PM tepi', sekarang saya dah di tengah macam mana? Jadi saya nasihatkan jangan sombong, boleh tegur, boleh kritik tapi janganlah menghina," katanya.

Mengakhiri ucapannya, Anwar meminta pengundi di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Taman Medan, Seri Setia, dan Bukit Gasing supaya terus memberi kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan untuk memerintah Selangor.

Menurutnya, Selangor mempunyai kerajaan yang kuat dan Menteri Besar yang bekerja sedaya upaya, justeru rakyat perlu membuat pertimbangan sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 11:47 PM