ANWAR berucap pada Majlis Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam Felda Teloi Timur, Jeneri, Sik, hari ini. FOTO Syaharim Abidin
ANWAR berucap pada Majlis Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam Felda Teloi Timur, Jeneri, Sik, hari ini. FOTO Syaharim Abidin
Noorazura Abdul Rahman


Sik: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pimpinan politik agar tidak ghairah menabur janji bulan dan bintang bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Katanya, pengalamannya selama berpuluh tahun termasuk pernah dipenjarakan membuatkan beliau menjadi dewasa dalam berpolitik.

"Ujian itu mendewasakan kita, sekarang ini saya sudah jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kritiklah saya, beritahu mana yang tak betul.

"Politik ini bukan boleh janji bulan dan bintang, bukan perlawanan pidato, apa lagi dok mengata kat orang," katanya ketika berucap pada pada Karnival Segalanya FELDA di Padang Awam FELDA Teloi Timur, di sini, hari ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut membidas parti pembangkang yang gagal menyelesaikan kemiskinan tegar sebaliknya mengumpul kekayaan semasa berkuasa.

Katanya, adalah tidak wajar bagi pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengkritik Kerajaan Madani dalam usaha menghapuskan kemiskinan tegar di seluruh negara berikutan mereka gagal berbuat demikian ketika berkuasa selama 33 bulan.

"Nak beli susu pakaian sekolah tak cukup duit, kita nak selesaikan (contoh) kita minta senarai nama jumlah (orang miskin) seluruh Sik, bagi nama yang susah, miskin tegar kita selesaikan tahun ini," katanya.

Beliau turut meminta agar rakyat tidak tertipu dengan dakwaan parti tertentu bahawa mereka bersih kerana beliau mempunyai bukti ada pimpinan sebelum ini yang 'sakau-menyakau'.

"Kita ni minyak, gas, ada balak ada, hasil bumi ada, kita hentikan cara sakau ni toksah dengar orang cakap bersih, nak habaq (beritahu) bagi, jangan terpukau tertipu orang Kedah, kami bersih, bersih apa, kontrak hangpa sapu.

"Tanya aku ni Menteri Kewangan, fail ada kat aku, saya bukan fitnah orang, saya menyampah orang bercakap.. Tapi tak amalkan," katanya.

Anwar, bagaimanapun tidak menamakan mana-mana pemimpin yang dimaksudkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 10:10 PM