KHALIQ Mehtab (kanan) berbual bersama jenteranya sebelum memulakan kempen di sekitar Kuala Bekah dekat Penaga, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
KHALIQ Mehtab (kanan) berbual bersama jenteranya sebelum memulakan kempen di sekitar Kuala Bekah dekat Penaga, Kepala Batas. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Biarpun digelar pengkhianat selepas keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menyertai Perikatan Nasional (PN) namun ia tidak akan menjejaskan sokongan pengundi yang kini bijak menilai.

Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, 47, yang bertanding bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sedar akan naratif yang dilemparkan terhadapnya dan digunakan pihak lawan.

Namun katanya, ia tidak menggambarkan dirinya kerana rakyat boleh menilai berdasarkan rekod yang dipegang sebagai ahli Bersatu dan kerja-kerja kemasyarakatan yang dilakukan sepanjang menjadi wakil rakyat di DUN Bertam sejak 2018.

"Sebenarnya, isu pengkhianat itu (tak perlu timbul) kerana saya rasa semua orang tahu yang saya tak pernah lompat parti.

"Ketika bertanding dulu saya memang seorang ahli Bersatu yang ketika itu bersama PH dan kini juga masih bersama Bersatu.

"Jadi isu ini tidak akan langsung menjejaskan kepercayaan pengundi dan mereka bijak menilai berdasarkan rekod saya selama lima tahun, apatah lagi dengan gelombang rakyat yang ketika ini," katanya ketika ditemui ketika berkempen di Kampung Kuala Bekah dekat Penaga, di sini, hari ini.

Khaliq Mehtab yang juga Pemangku Ketua Bahagian Bersatu berkata, walaupun digelar pengkhianat beliau terus menyumbang bakti kepada rakyat di kawasannya dan akan terus bekerja apabila diberikan mandat sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

"Bagi saya apabila kita khianat mandat rakyat ini adalah apabila kita diberikan satu kepercayaan dan tanggungjawab kita tak melaksanakan tanggungjawab itu.

"Walaupun saya tidak bersama dengan PH dan bersama dengan PN tetapi kerja saya masih buat, amanah dan tanggungjawab yang diberi kepada saya dipikul sebaik mungkin. Itu maknanya saya tidak mengkhianati mandat rakyat.

"Mandat rakyat ini orang yang cakap lain, buat lain atau bagi janji tapi tak menunaikan janji, itulah mengkhianati mandat rakyat," katanya.

Pada PRU-14, Khaliq Mehtab memenangi kerusi DUN Bertam dengan mendapat majoriti sebanyak 217 menewaskan Datuk Shariful Azhar Othman dari Barisan Nasional (BN).

Bagi PRN ini, DUN Bertam menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara Khaliq Mehtab dengan bekas Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 5:37 PM